Tuesday, 12 June 2018

CARA BERDAKWAH YANG BERKESAN

Dakwah bererti menyampaikan dan mentabligh individu atau rumpun masyarakat supaya mengikut ajaran Islam yang sebenar, mengerjakan amar makruf dan meninggalkan kemungkaran. 

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan dakwah sebagai kegiatan menyeru dan menyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Berdakwah adalah menjalankan kegiatan menyebarkan sesuatu kepercayaan. 

Justeru, tugas berdakwah memerlukan satu kemahiran kerana melibatkan seruan berkaitan kepercayaan. Secara amnya, orang tidak mudah terpengaruh untuk melakukan amalan agama, melainkan telah benar-benar yakin, dan faham mengapa dia patut dan tidak patut melakukan sesuatu.     

Dalam hal ini, konsep berkomunikasi berkesan amat penting diamalkan dalam urusan berdakwah. Komunikasi berkesan bermaksud, “seseorang yang memperkatakan sesuatu yang benar; pada masa yang tepat dan dengan cara yang sesuai untuk didengari dan difahami bagi menghasilkan tindakbalas yang dihajati.”

Berkata perkataan benar dan tepat memerlukan seorang pendakwah memahami secara mendalam apa yang ingin dilakukan. Dalam soal ini pendakwah perlu bijak menentukan situasi golongan yang ingin didakwah, serta pengaruh persekitaran yang mungkin mempengaruhi kejayaan dakwah. 

Kemahiran berkomunikasi amat diperlukan bagi memastikan segala usaha dakwah berjaya berubah kepada kepada lebih baik. Kejayaan dalam kerja berdakwah bukan ditentukan apa yang kita mahu, tetapi sedikit perubahan yang membawa kepada kebaikan, atau menghalang daripada berlaku keburukan, sudah memadai untuk mengatakan sesuatu usaha dakwah itu berjaya.

Rasulullah menyuruh setiap individu menyampaikan apa-apa diketahui biarpun hanya sedikit. Apa yang penting ialah apa yang disampaikan itu benar dan tepat.     

Bentuk komunikasi berkesan juga mengambil kira tahap keberkesanan penerimaan orang yang didakwah. Setiap individu mempunyai tahap penerimaan dan kefahaman berbeza-beza.

Ada individu yang memerlukan masa yang lama, dan menggunakan pelbagai pendekatan penyampaian baru dapat menerimanya.  

Oleh sebab itu, pendakwah perlu memperkatakan dan menyeru dalam perkara yang  mampu diterima oleh orang yang didakwah itu. Apa yang disampaikan mungkin sekadar perkara asas. 

Pendakwah tidak boleh mudah rasa berputus asa atau merendah-rendahkan kefahaman orang didakwah, biarpun perkara itu pada fikiran kita sepatutnya telah diketahuinya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Hadis riwayat Muslim).

Pendakwah juga perlu bijak dalam mengendalikan seruan dakwah. Adakalanya pendakawah terpaksa berdepan dengan ‘bantahan’ atau perkara berlainan dengan apa difahami oleh individu yang didakwah. 

Oleh itu amat penting pendakwah merancang satu kaedah berkesan yang lebih menarik minat pendengar. Pendakwah tidak boleh bersikap terlalu mendesak agar apa diucapkan diterima, dan diikuti sepenuhnya. 

Dalam keadaan tertentu, amat penting jika pendakwah turut memberi peluang kepada individu didakwah agar menyatakan pendangan mereka. Dengan cara itu dapat memudahkan pendakwah mengetahui apa yang difahami orang didakwah, atau sesuatu yang menghalang kepada penerimaan dakwah itu. 

Allah mengarahkan agar pendakwah berbincang dan berhujah dengan bijak. Firman Allah bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik. Tuhan tahu siapa yang menyimpang dari jalan Allah dan siapa yang berjalan menurut perintah-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 125).

Amalan bantah membantah tidak boleh dilakukan ketika berdakwah. Keadaan itu akan menimbulkan suasana tegang dan mungkin menimbulkan keadaan tidak diingini. Sebab itu dinasihatkan agar dihentikan segera perbuatan itu. Berhenti seketika bukan bermakna mengaku kalah.   

Usaha berdakwah kepada individu atau pihak yang berkenaan boleh dilakukan pada masa lain. Cara itu mengelak menimbulkan fitnah dan perasaan benci meluap-luap. 

Baca juga;

No comments:

Post a Comment