Tuntutan
harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan
iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga
tuntutan selepas kematian.
Bagi
tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa
untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu
membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian.
Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di
mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.
Tuntutan
harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen
23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah
supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum
permohonan poligami disahkan.
Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003
menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk
membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan.
Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga
keluar agama Islam.
Bagi
tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan
mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa
negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup
boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta
pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah
harta sepencarian.
Kaedah
penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh
iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak
pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi
mengikut persetujuan.
Persetujuan ini boleh dibuat sama ada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai
sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.
Kaedah
lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung. Hakim
kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai
persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah
Mahkamah.
Sekiranya
kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah
akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya
mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui
perintah mahkamah.
Tuntutan
biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan
sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung
misalnya urusan menguruskan rumah tangga.
Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam
bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga
jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu
dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta
pusaka.
Kitab
At-Turuq al-Hukmiyah karya Ibnu Qayyim al-Juziyyah mengatakan, dalam tuntutan
suami isteri membabitkan harta sepencarian, tuntutan hendaklah berdasarkan
keterangan pihak yang membuktikan tuntutan itu.
Pemilikan
ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata
kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar.
Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu
harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan
pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta
berkenaan.
Rasional
keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak
terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang
perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma
pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan
dan hak.
No comments:
Post a Comment