Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan
Siam (Thailand) menjadikan negeri itu tempat
tinggal banyak kaum Siam. Kaum Siam yang telah lama menetap di Kelantan menjadi
sebahagian kaum peribumi atau bumiputera.
Mereka bercakap bahasa Melayu loghat
Kelantan dengan fasih sehingga sukar dikesan bahawa mereka adalah kaum Siam.
Hal yang sama berlaku di kalangan Cina Peranakan Kelantan.
Senario keakraban di antara masyarakat Siam
dengan rakan berbagai bangsa lain di Kelantan, pada tahun-tahun 70-an, amat
membanggakan. Mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling memahami. Tiada ada
perasaan prejudis dan jauh sama sekali ada perasaan dendam dan bermusuhan.
Maka sebab itu, rakan berbeza bangsa dan
anutan agama dapat bersama-sama di pelbagai majlis. Mereka dijemput sama meraikan.
Masakan disediakan berasingan untuk rakan berbangsa Melayu.
Bahkan, dalam
keadaan majis yang melibatkan acara keagamaan yang khusus bagi sambutan itu, ada
hari lain yang diadakan untuk orang Melayu tanpa melibatkan acara keagamaan.
Untuk mengurangkan kerumitan, ada yang
menjemput untuk ‘minum teh’ sahaja. Tempat pula tidak menjadi masalah bagi
rakan Melayu, sama ada di rumah, dewan atau perkarangan rumah ibadat. Jamuan
dan hidangan disediakan oleh orang Melayu yang dilantik tuan rumah.
Selain perkahwinan dan ‘naik’ rumah baru,
tetamu turut dijemput ke majlis keagamaan seperti anak lelakinya menjadi
bhikkhu. Namun bukan untuk menyertai upacara/ritual keagamaan, cuma untuk hadir
berkongsi saat gembira dan bangga sebuah keluarga.
Masyarakat Siam dan Cina Peranakan sedia maklum tentang larangan bagi rakan berbangsa Melayu hasil daripada pergaulan yang rapat, mereka saling faham memahami.
Tuan rumah juga tidak berhasrat untuk menjemput tetamu mereka (yang berbeza bangsa/agama) menyertai mana-mana ritual. Pastinya tiada terlintas di fikiran untuk memperdaya, apatah lagi untuk memaksa.
Sikap saling menghormati dan mamahami kepercayaan serta amalan kaum lain menjadi teras keharmonian masyarakat Kelantan.





No comments:
Post a Comment