Thursday 9 January 2020

PERBEZAAN BUNGA SEROJA DENGAN TERATAI

Bunga seroja dan bunga teratai kedua-duanya nampak sama. Hidup di persekitaran sama iaitu di dalam air. Kedua-duanya cantik dan menarik minat orang melihatnya.

Maka, tidak hairan jika orang mengatakan kedua-duanya adalah sama. Beza pada panggilan sahaja. Ada orang panggi seroja dan orang lain pula kata teratai.

Sebenarnya, kedua-dua pokok berbunga cantik ini adalah berbeza. Bunga seroja (Nelumbo nucifera Gaertn.) dan bunga teratai pula dari keluarga Nymphaea sp.

Dalam bahasa Inggeris bunga seroja dikenali lotus, manakala bunga teratai dipanggil water lily.

Maka, jelas sekali bunga seroja bukan teratai dan teratai pula bukan seroja walaupun kedua-duanya nampak sama.

Secara pandangan dengan mata kasar kedua jenis tanaman ini boleh dibezakan. Ia dibezakan dengan ujudnya bunga dan daun tumbuhan lotus yang selalunya berada di atas permukaan air (tidak mengembang) sedangkan pada teratai bunga dan daunnya mengembang di permukaan air. 

Bunga seroja tak terapung di atas air. Biasanya bunga seroja letaknya di atas tangkai yang agak panjang menjulang ke atas permukaan air. Tangkai seroja agak keras.

Manakala teratai, kedudukan bunga terapung dan mekar di atas permukaan air. Tangkai bunga teratai panjang tetapi lembut yang menyebabkan bunganya tidak boleh melepasi paras air.

Kedua-dua jenis bunga seroja dan teratai hidup di dalam air. Kedua-suanya merupakan tanaman air mempunyai akar pada tanah dalam kolam dan daunnya di permukaan air.

Selain perbezaan pada bunga, seroja dan teratai juga berbeza pada daun.

Tangkai daun teratai lebih panjang seperti tangkai bunganya, tetapi lembut. Sebab itu, daun teratai akan kembang di atas permukaan air dan ada jarak antara satu sama lain.

Manakala tangkai daun seroja lebih pendek dan keras. Apabila naik ke atas, ada yang berada di atas permukaan air dan kedudukan rapat-rapat antara satu sama lain setelah keluar dari umbi dari bawah.

Ada jenis seroja boleh ditanam di atas tanah biasa dan boleh berdiri tegap kerana tangkai daun dan tangkai bunga agak keras.

Berbanding dengan teratai hanya boleh dihidup di dalam air untuk menyokong daun dan bunganya.

Bungai seroja dijadikan lambang suci dalam agama Buddha dan Hindu. Sedangkan teratai hanya terkenal dengan lagu 'Teratai Layu Di Tasik Madu'

Di negara banyak penganut agama Buddha seperti Thailand, Myanmar, Vietnam, Laos, China dan Kamboja, bunga seroja ditanam di lokasi strategik dan dihormati.

Terdapat kepercayaan yang bunga seroja tumbuh di atas tapak kaki Gauthama Buddha sehinggakan ia dikatakan bunga yang suci.

Sebahagian besar varieti seroja adalah daripada India sehingga menjadi lambang negara tersebut. Bunga seroja juga bunga kebangsaan negara Vietnam.

Di China bunga seroja yang tumbuh di atas lumpur dan permukaan air serta menghasilkan bunga yang amat cantik dan digunakan untuk nama-nama perempuan dalam masyarakat mereka.

2 comments: