Proses penghasilan
nira nipah perlu mengikut langkah yang dilakukan secara tradisional. Nira atau
juga dipanggil tuak nipah dihasilkan atau diperoleh dari tandan buah nipah
yang telah tua. Ini berbeza dengan tuak kelapa yang diperoleh dari mayang muda
kelapa.
Pokok nipah matang mengeluarkan
tandan yang di bahagian hujungnya terbentuk bunga. Bunga membesar dan
menghasilkan buah secara setompok rapat-rapat yang kelihatan seperti bulat.
Saiz tandan nipah akan membesar
selari dengan pembesaran buah nipah. Tandannya mampu menampung berat buah
nipah yang semakin berat apabila buah menjadi matang. .
Tandan nipah yang ingin diambil nira
nipah perlu dicuci dengan membuang semua kulit tandannya apabila buah nipah
mencapai tahap matang.
Tidak semua tandan nipah melentur ke
bawah walaupun buahnya berat. Jadi, tandan yang berkedudukan menegap perlu
dilenturkan ke bawah dengan cara dipukul menggunakan kayu.
Bahagian tandan yang telah buang
kulit perlu diselaputi dengan lumpur untuk mengelak ia mengalami kekeringan.
Bahagian tandan akan dipotong atau
diparas apabila buah telah matang. Tandan yang telah dipotong akan menitiskan
nira nipah. Pada peringkat awal kelajuan titisan agak perlahan. Jadi, ia
dibiarkan jatuh ke tanah tanpa ditadah.
Setelah beberapa hari baru air nira
nipah galak keluar dan proses menadah air nira dilakukan dengan meletakkan
tukil di hujung bahagian dipotong. Dahulu tukil diperbuat daripada buluh. Namun
sekarang ini botol plastik atau bekas plastik digunakan kerana lebih mudah dan
bersih.
Nira nipah biasanya keluar laju pada
sebelah malam. Setiap tandang nipah boleh mengeluarkan nira di selama sebulan
hingga tiga bulan mengikut jenis pokok nipih yang ukuran panjang tandannya
berbeza. Semakin panjang tandan, semakin lama tempoh dapat mengeluarkan nira
nipah.
Pengeluaran nira nipah kini dilakukan
secara kormesial atau ladang. Terdapat pengusaha nira nipah yang memprosesnya
menggunakan mesin khas. Nira nipah yang diproses lebih tahan lama dan bersih.
No comments:
Post a Comment