Sunday 6 October 2024

SEJARAH JAMBATAN VICTORIA, KUALA KANGSAR

 
Jambatan Victoria (juga dikenali sebagai Jambatan Enggor) adalah sebuah jambatan kereta api yang terletak di Enggor, Kuala Kangsar, Perak. Jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada April 1897, dan merupakan jambatan kereta api tertua di Malaysia.
 
Pembinaannya dilaksanakan oleh Perak State Railway. Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah G.W. Fryer, Jurutera Divisyen dan C.R Hanson. Pembinaan jambatan tersebut melibatkan tenaga kerja kira-kira 500 orang terdiri penduduk tempatan dan buruh dari India.
 
Disebabkan kawasan tersebut mengalami dua kali banjir besar, pembinaannya terganggu yang menyebabkan masa pembinaan melebihi tempoh yang dijangka.
 
Setelah mengambil masa pembinaan selama 28 bulan, jambatan sepanjang 308 meter ini telah dirasmikan oleh Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, Sultan Perak ke-28 pada 21 Mac 1900. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri Raja Perempuan Perak, Residen Perak, J.P. Rodger dan isteri dan orang-orang kenamaan.
 
Dalam tahun 1910, jambatan ini telah digunakan sepenuhnya untuk laluan kereta api dari Perai ke Johor Baharu.
 
Ketika Perang Dunia Kedua, Jambatan Victoria menjadi pilihan strategik tentera Jepun untuk mara ke selatan. Bagi menyekat kemaraan tentera Jepun, Batalion 5/14 Punjab telah ditugaskan untuk bertahan di kawasan berhampiran Jambatan Victoria.
 
Namun, disebabkan tembakan bertalu-talu daripada tentera Jepun, pasukan pertahanan terpaksa berundur. Untuk melengahkan kemaraan musuh, maka Jambatan Victoria diletupkan pada malam 23 Disember 1941 yang dilakukan tentera daripada unit jurutera British.
 
Biarpun tidak kesemua struktur jambatan itu rosak, ia tidak lagi boleh digunakan oleh tentera Jepun untuk menyeberangi Sungai Perak. Sebagai ganti, tentera Jepun menggunakan “patoon” untuk menyeberangi sungai itu pada 26 Disember 1941.
 
Setelah Jepun menguasai sepenuhnya Tanah Melayu dan Singapura, Jambatan Victoria telah diperbaiki kembali oleh tentera Jepun dengan menggunakan tenaga kerja penduduk tempatan.
 
Khidmat Jambatan Victoria ditamatkan pada 2002 apabila sebuah jambatan konkrit baharu telah dibina sebelahnya. Pun begitu, Jambatan Victoria kekal kukuh dan terjaga sebagai bahan sejarah dan masih digunakan oleh penduduk bermotosikal, berbasikal atau berjalan kaki.
 
Sesuai dengan sejarah dan keindahan kawasan sekitar, lokasi tersebut kini dijadikan tempat tarikan pelancong dan istirahat. Untuk menyediakan maklumat yang berkaitan dengan sejarah jambatan tersebut, Gelari Jambatan Victroria telah dibina.





No comments:

Post a Comment