
Ibn Abbas ada menyebut, “Allah SWT mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram, dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar dan amal soleh yang dilakukan mendapat pahala yang lebih banyak (Ibn Rajab al-Hanbali, Latha’if al-Maʻarif (Dar Ibn Hazm, 2004), hlm. 115)
Terdapat beberapa hadis sahih yang menceritakan perihal kehidupan Nabi SAW apabila berada dalam bulan Rejab. Bahkan, ulama menjadikan hadis-hadis ini sebagai asas untuk mengatakan bahawa wujudnya kelebihan bulan Rejab, dengan disokong oleh hadis-hadis daif yang lain sebagai penguat.
Hadis daripada Uthman bin Hakim bahawa: “Aku bertanya kepada Said bin Jubair tentang puasa Rejab, apa pandanganmu? Beliau menjawab: Ibn Abbas memberitahu kami bahawa: Nabi SAW biasa berpuasa sehingga kami menyangka baginda tidak akan berbuka. Baginda juga terus berbuka sehingga kami menyangka baginda tidak akan berpuasa. (Hadis riwayat Muslim)
Hadis itu berkaitan amalan Nabi SAW ketika bulan Rejab. Namun, tidak terdapat hadis sahih berkenaan kelebihan ibadat khusus dalam bulan Rejab.
Al-Hafiz
Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Tabyin al-‘Ajab, menyebutkan bahawa
tidak terdapat hadis yang sahih dalam menerangkan keutamaan amalan dalam bulan
Rejab, sama ada tentang amalan puasa atau solat malam yang dikhususkan pada
bulan tersebut.
Namun, ulama
membolehkan untuk beramal dengan hadis daif dalam aspek
kelebihan beramal (fadail amal) selagi mana ia tidak mencapai taraf palsu (mauduʻ).
Terdapat syarat sekiranya hendak beramal
dengan hadis daif. Ia bagi mengelakkan daripada
seseorang yang beramal dengan hadis daif itu mensyariatkan apa yang
tidak disyariatkan oleh Allah SWT atau menyebabkan sebahagian orang yang jahil
dalam perkara tersebut memandangnya sebagai sunah yang sahih.
Isu amalan atau ibadah dalam bulan Rejab
sering dikaitkan dengan hadis daif bukanlah suatu isu yang baru dalam
kalangan masyarakat Islam. Berikut merupakan antara hadis daif berkaitan
bulan Rejab:
- Hadis Ganjaran Istana Dalam Syurga Bagi
Orang Yang Berpuasa Bulan Rejab.Abu Qilabah meriwayatkan bahawa: “Dalam
syurga terdapat istana yang diperuntukkan bagi mereka yang berpuasa pada bulan
Rejab.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syuʻab al-Iman. Menurut
Imam al-Suyuti, Imam al-Baihaqi mengatakan bahawa riwayat ini merupakan riwayat
yang paling kuat berkenaan kelebihan puasa pada bulan Rejab.
- Hadis Doa Ketika Memasuki Bulan Rejab. Anas
bin Malik RA meriwayatkan bahawa: “Apabila tiba bulan Rejab maka Rasulullah
SAW akan berdoa: Ya Allah, berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan
sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”
Imam al-Suyuti menilai hadis ini dalam
karyanya al-Jamiʻ al-Saghir sebagai daif.
- Terdapat lagi hadis daif berkenaan
puasa bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah meriwayatkan bahawa: Maksudnya: Rasulullah
SAW tidak berpuasa setelah Ramadan kecuali pada bulan Rejab dan Syaaban.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan
dalam kitabnya “Tabyin al-‘Ajab” bahawa hadis ini adalah hadis munkar kerana
dalam sanadnya terdapat perawi yang sangat lemah iaitu Yusuf bin ‘Athiyyah.
Umumnya, puasa dan ibadah dalam bulan Rejab
dan Syaban adalah dianjurkan berdasarkan kesepakatan tiga mazhab iaitu mazhab
al-Hanafi, al-Maliki dan al-Syafi.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa antara
puasa sunat adalah puasa pada bulan-bulan Haram iaitu bulan Zulkaedah,
Zulhijjah, Muharram dan Rejab dan yang paling afdal antaranya adalah pada bulan
Muharram. Ini menunjukkan bahawa bulan Rejab merupakan bulan yang mulia
dan bulan yang disunatkan berpuasa padanya.
Seterusnya, Imam al-Ramli menyebutkan dalam
karyanya Nihayah al-Muhtaj bahawa sebaik-baik bulan untuk berpuasa
selepas bulan Ramadan antaranya ialah bulan Rejab kerana ini salah satu
daripada bulan-bulan haram.
Gambar - sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment