Tuesday, 24 December 2024

MASJID BANDAR RAYA KOTA KINABALU

 
Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu terletak di persisiran Pantai Likas. Pada masa sama ia juga dikenali dengan nama Masjid Terapung. Ia merupakan masjid terbesar di Bandar Raya Kota Kinabalu dan mampu menampung 12,000 orang jemaah pada satu masa.
 
Walaupun masjid ini lebih besar daripada Masjid Negeri yang terletak di Sembulan, namun tarafnya hanyalah sebagai masjid utama di Bandar Raya Kota Kinabalu, manakala Masjid Negeri terus kekal dengan tarafnya sebagai masjid utama negeri Sabah.
 
Masjid tersebut telah dibuka dengan rasminya pada tanggal 18 Februari 2000 berikutan pengisytiharan bandar Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya. Ia telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Bin Dandai, Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-8.
 
Sejarah pembinaan Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu hasil cetusan ilham dan cadangan Tun Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Said bin Keruak, Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-7.
 
Tapak masjid seluas 14.83 ekar itu asalnya kawasan pesisir pantai dan laut di Kampung Likas yang ditimbus guna. Proses timbus guna bermula pada pada bulan Julai 1989 dan siap pada bulan Ogos 1989.
 
Ini diikuti dengan kerja-kerja penyediaan tapak bermula pada bulan September 1990 dan siap pada bulan Jun 1991. Kerja-kerja menanam cerucuk dimulakan pada 22 Jun 1992 dan siap pada 23 Mac 1993.
 
Bagaimanapun, projek pembinaan seterusnya tidak dapat diteruskan kerana masalah kewangan dan teknikal. Bagaimanapun, berkat kesungguhan pimpinan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1994, maka projek berkenaan mendapat peruntukan yang sewajarnya untuk diteruskan.
 
Dengan peruntukan baharu itu, kerja-kerja pembinaan bangunan dan kerja-kerja sivil masjid dapat dimulakan. Bagaimanapun, projek berkenaan menghadapi pelbagai masalah pengurusan dan teknikal menyebabkan kerja-kerja pembinaannya terganggu dan berjalan secara perlahan.
 
Mulai 1 Januari 1996, pelaksanaan projek berkenaan dipindahkan daripada pengurusan Majlis Ugama Islam Sabah kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. Pemindahan ini juga menimbulkan masalah teknikal sampingan. Bagaimanapun, apabila semua masalah projek berkenaan dapat diselesaikan, maka barulah kerja-kerja pembinaan masjid tersebut dapat dipercepatkan dan berjalan dengan licin mulai pertengahan tahun 1997 dan siap pada akhir tahun 1999.
 
Masjid ini mempunyai ciri-ciri Masjid Nabawi dengan hampir 70 peratus kawasan masjid dikelilingi air. Kos pembinaan masjid ini adalah sebanyak RM34 juta.

No comments:

Post a Comment