Wednesday 19 July 2023

HIJRAH UMNO DEMI MENERUSKAN PERJUANGAN

 
Bermula Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (2018) UMNO tidak seperti 13 PRU sebelumnya. UMNO bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) lain hilang kuasa tampuk kepimpinan negara.
 
Biarpun 22 bulan kemudian UMNO kembali menyertai kabinet yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yasin melalui Langkah Sheraton dan kemudian pemimpin UMNO diangkat menjadi perdana menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hakikatnya UMNO masih belum mendapat kembali kedudukan yang utama sebagai peneraju negara.
 
Begitu juga selepas PRU-15, UMNO yang turut menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan dengan diberikan kerusi nombor dua kepimpinan negara kepada Presiden UMNO, hakikatnya kuasa UMNO belum berada pada kedudukan asal.
 
Perlunya kedudukan bagi UMNO bukan untuk kepentingan pemimpin, tetapi bagi meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara yang digalas UMNO sejak penubuhannya.
 
Untuk mendapat kembali kedudukan, ahli UMNO perlu berhijrah. Hijrah demi menyelamatkan maruah. Hijrah demi mempertahankan dakwah dan perjuangan Islam. Hijrah demi mengelakkan mudarat besar menimpa agama dan bangsa.
 
Antara bentuk hijrah yang perlu dilakukan ialah buang sikap ego dan berasa diri masih berkuasa. Terimalah hakikat bahawa UMNO sekarang ini sekadar “penumpang” dalam keluarga besar Kerajaan Perpaduan.
 
Jika tanpa menyertai Kerajaan Perpaduan, UMNO boleh dikatakan tiada apa-apa. Tanpa kuasa, UMNO tidak mampu untuk terus berfungsi membela dan mempertahankan agama, bangsa dan negara.
 
Inilah masanya untuk UMNO merawat luka kekalahan. Membina kembali kekuatan yang telah runtuh dua kali PRU. Mencari semula tidak kekuatan untuk kembali berdiri.
 
Untuk mencapai hasrat itu, UMNO tiada pilihan melainkan berada dalam Kerajaan Perpaduan. Lebih-lebih lagi penyertaaan atau pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang Dipertuan Agong demi melihat sebuah negara bangsa yang stabil dan kuat.
 
UMNO tiada pilihan. Tidak boleh menentukan siapa yang boleh dijadikan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan. Maka, jika yang ada dalam Kerajaan Perpaduan itu “musuh”, maka kenalah ditukar menjadi sahabat.
 
Bersahabat dengan “musuh” bukan satu dosa. Jika ia bertujuan mencipta kebaikan, itu satu pahala. Jangan terlalu takut kepada “musuh” yang ingin dijadikan sahabat. Memang bukan bermakna percaya 100 peratus, kerana dengan sahabat pun bukan boleh percaya 100 peratus. Banyak sahabat sanggup tikam belakang, menjadi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam.
 
Ingat, banyak bangsa musnah bukan kerana diserang musuh, tetapi disebabkan musuh dalam selimut. Banyak yang mengaku setia, tetapi menangguk di air keruh.
 
Sedangkan musuh memang kita sentiasa berjaga-jaga dengan tindak tanduk mereka. Kita lebih berhati-hati. Sebab itu ada orang lebih rasa selamat berkawan dengan “musuh” berbanding dengan kawan yang mengaku setia.
 
Ahli UMNO perlu melakukan hijrah yang besar untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar akan berlaku. Berkawan dengan “musuh” lebih baik jika ia memberi kekuatan, berbanding bekerjasama dengan kawan yang menjadikan UMNO lebih lemah.
 
Berjuang dengan sehabis tenaga dan semangat untuk mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ini adalah jihad untuk membuktikan bahawa berkawan dengan “musuh” memberi kebaikan kepada UMNO.
 
Seruan agar tidak memenangkan calon UMNO pada PRN dengan harapan akan memberi isyarat kepada Presiden dan pemimpin tertinggi parti agar meninggalkan “musuh” yang ingin membantu adalah langkah ke belakang. Pelik sungguh golongan yang ingin melihat UMNO kalah pada PRN nanti.
 
Ayuh, buktikan UMNO lebih kuat dan dapat memperbaiki kedudukan di keenam-enam negeri yang mengadakan PRN. Seluruh ahli UMNO perlu berhijrah minda untuk melihat peluang yang lebih baik dan terbuka pada PRN nanti.

No comments:

Post a Comment