Tuesday 8 August 2023

KAWAL AKTIVITI JUDI TERSEMBUNYI

 
Kerajaan Pas Kelantan berbangga berjaya mengharamkan aktiviti judi berlesen di negeri berkenaan. Namun, hakikat sebenar, aktiviti judi masih berleluasa dalam negeri berkenaan. Kerajaan Pas Kelantan gagal untuk mendidik rakyat benci kepada judi.
 
Bentuk biasa pemain judi melibatkan daun terup, dadu, lumba kuda, cabutan nombor dan teka nombor. Terdapat keputusan dijadikan asas pertaruhan seperti pertandingan bola sepak, pilihan raya dan sebagainya.
 
Selain itu, ada aktiviti yang dianggap judi terselindung. Biasanya keadaan ini berlaku dalam pertandingan tertentu. Peserta perlu membayar yuran sejumlah wang penyertaan. Wang tersebut dikumpul dan dijadikan hadiah untuk pertandingan. Ada juga cabutan bertuah untuk setiap resit atau borang penyertaan.
 
Di Kelantan, aktiviti seperti ini amat berleluasa. Pertandingan suara burung candik, memancing, sepakan penalti, ayam galak dan sebagainya. Rakyat Kelantan minat bertanding dan bertaruh. Untuk menaikkan semangat, maka wang hadiah disediakan.
 
Rakyat Kelantan nampaknya masih tidak faham tentang istilah judi sebenar. Mereka anggap beli nombor toto sahaja yang haram. Sebab itu ia diharamkan dijual di Kelantan.
 
Pemimpin Pas Kelantan gagal untuk mendidik rakyat Kelantan agar faham maksud sebenar judi. Jadi, jangan salahkan rakyat jika terlibat dalam aktiviti judi terselindung. Kerajaan Pas Kelantan hanya berbangga berjaya tidak membenarkan pembukaan premis judi berlesen.
 
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menyebut dalam kitabnya yang telah kami terjemahkan, Halal & Haram dalam Islam (ms. 558): “Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”
 
Kesatuan Fikah Sedunia dalam sidangnya ke 14 pada 11 hingga 16 Jan 2003 telah memutuskan bahawa semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil dari hasil kumpulan wang penyertaan peserta, hukumnya adalah haram hadiah tersebut. Ini kerana ia mengandungi unsur judi dan gharar atau ketidaktentuan.
 
Justeru, mengambil yuran peserta bagi tujuan hadiah kepada para pemenang ialah satu bentuk pertaruhan yang diharamkan kerana mengakibatkan kerugian melalui main nasib atas pihak yang kalah.
 
Maka, dicadangkan agar penganjur mencari penaja untuk menaja hadiah para pemenang. Adapun, yuran peserta digunakan untuk belanja pentadbiran seperti sewaan padang, dan peralatan, maka itu dibenarkan kerana semua peserta berkongsi manfaat bersama.
 
Ini dapat dicontohi melalui pertandingan memancing anjuran Pemuda UMNO DUN Bunut Payung yang mengenakan yuran penyertaan sekadar untuk digunakan belanja urusan pertandingan. Sedangkan hadiah untuk pemenang ditaja oleh pihak lain.
 
Gambar – Pertandingan memancing anjuran Pemuda UMNO DUN Bunut Payung yang bebas unsur judi.

No comments:

Post a Comment