Sunday 24 September 2023

TUGU PERINGATAN JALAN RAYA TIMUR BARAT (JRTB)

 
Bagi menghargai jasa dan pengorbanan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (Gerik, Perak – Jeli, Kelantan), satu Tugu Peringatan telah didirikan yang diharapkan menjadi monumen rujukan pelapis akan datang.
 
Tugu ini telah dibina pada tahun 1994 dan kemudian dinaik taraf dengan infrastruktur yang lebih baik pada awal tahun 2015 dengan kos RM395 ribu. 
 
Tugu ini dibina di tapak asal peristiwa serangan hendap oleh pihak komunis terhadap pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota keselamatan pada 23 Mei 1974. Ia terletak kira-kira 28 kilometer dari pekan Gerik.
 
Dalam tragedi tersebut, sebanyak 63 buah jentera JKR telah diletupkan. Dalam satu lagi peristiwa serangan hendap pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang kakitangan JKR telah terkorban. 
 
Perasmian tugu yang dinaik taraf telah disempurnakan oleh Datuk Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dalam satu majlis pada 2 Julai 2015 yang dihadiri oleh bekas kakitangan JKR dan waris yang pernah terlibat dalam pembinaan JRTB.
 
Pembinaan projek JRTB ini telah dilaksana sepenuhnya oleh kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terdiri dari semua lapisan jawatan. Ia merupakan satu pendedahan secara ‘hands on’ terhadap kaedah kerja yang sebenar walaupun ia berisiko tinggi ke atas keselamatan mereka.
 
Cadangan pembinaan bermula sejak tahun 1967. Bagaimana projek bermula secara fizikal pada tahun 1970 selama 12 tahun yang berakhir pada tahun 1982.
 
Panjang JRTB adalah 123 kilometer iaitu 61 kilometer dalam negeri Perak dan 62 kilometer dalam negeri Kelatnan. JRTB telah dibina dengan kos sebanyak RM205 juta. Kos asal ketika cadangan pembinaan adalah RM856 juta. Ia merupakan salah satu laluan utama yang menghubungkan kawasan Barat dengan kawasan Timur Semenanjung Malaysia (Negeri Perak dan Kelantan). 
 
Salah satu skop yang terlibat ialah pembinaan jambatan merentasi Tasik Temenggor (lebih dikenali Tasik Banding) yang menggunakan teknologi yang terkini pada ketika itu.
 
JRTB merentasi Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa dan pendakian ini akan ke sampai ke aras tertinggi iaitu sekitar 1100 meter dari aras laut.
 
Terdapat lima jambatan sepanjang laluan Jalan Raya Timur Barat dibina iaitu Jambatan Sungai Rui sepanjang 256 meter, Jambatan Temenggor Barat (880 meter), Jambatan Temenggor Timur (640 meter), Jambatan Sungai Pergau Atas (159 meter) dan Jambatan Pergau Bawah sepanjang 158 meter.  
 
JRTB dibuka secara rasmi pada 1 Julai 1982 dan hanya boleh dilalui pada waktu siang sahaja dengan iringan anggota tentera dan orang awam dilarang sama sekali menggunakan jalan ini pada waktu malam.
 
Sekatan ini telah dimansuhkan pada tahun 1989 selepas perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dengan pengganas komunis yang ditandatangani di Haatyai, Thailand.


No comments:

Post a Comment