Sunday 8 October 2023

MASJID AL-ISMAILI, PASIR PEKAN BERTERASKAN TEMA LIMA

 
Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan, Tumpat dikenali antara masjid yang menarik dan aktif melakukan aktiviti keagamaan, selain menjadi tumpuan jemaah untuk menunaikan sembahyang.
 
Terletak di Lot PT 3190, Bandar Baru Pasir Pekan, berhampiran dengan Bulatan Pasir Pekan, Masjid Al-Ismaili gah dapat dilihat dari jauh yang menarik perhatian orang yang melalui kawasan tersebut.
 
Masjid ini dibina di atas tanah rizab masjid seluas 1.112 ekar. Masjid pecah tanah pembinaan Masjid Al-Ismaili telah disempurnakan Sultan Muhammad V pada 22 Disember 2011.
 
Nama Al-Ismaili adalah mengambil sempena Sultan Ismail Petra ibnu Sultan Yahya Petra, ayahanda Sultan Muhammad V.
 
Masjid Al-Ismaili ini dilengkapi dengan ruang solat utama seluas 20,750 kaki persegi yang dapat menampung keperluan jemaah seramai 1500 orang jemaah pada satu-satu masa.
 
Antara cira pembinaan Masjid Al-Ismaili ialah mesra jemaah dan jimat tenaga. Masjid ini juga turut dilengkapi sebuah dewan serba guna, klinik wakaf, ruang mesra kanak-kanak, pejabat pusat pembangunan sosial dan rumah kakitangan masjid.
 
Kedudukan Masjid Al-Ismaili terletak di lokasi strategik, iaiatu di persimpangan utama jalan yang menghubungkan jajahan Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas, yang juga berhampiran sekolah, kedai-kedai, stesen minyak dan pasaraya menjadikan ia menjadi tumpuan setiap waktu solat.
 
Masjid Al-Ismaili dirasmikan Sultan Muhammad V pada 27 Ramadan 1435H bersamaan 25 Julai 2014M.
 
Seni bina masjid Al-Ismaili berteraskan TEMA 5, iaitu Islam terbina di atas rukun Islam yang lima demi menjaga lima maqasid as-syariyah, yang terdidik melalui lima hukum bagi panduan lima pancaindera manusia untuk memandu diri di dunia menuju akhirat.
 
Justeru itu masjid ini dibina dengan reka bentuk lima menara, lima anak tangga dan dipagari oleh enam kubah yang melambangkan Rukun Iman yang enam.
 
Hiasan dinding juga lima, begitu juga tapak kubah dan kolah pancur berbucu lima menepati lima pelan strategik transformasi ummah yang telah dicetuskan oleh Sultan Muhammad V pada 1 Muharram 1432H bersamaan 6 Disember 2010M. Faqiihan, Amiinan, Rahiman, Ilman, dan Salaman.

No comments:

Post a Comment