Monday 16 October 2023

SEKS BEBAS CETUSKAN BANYAK KEBURUKAN

 
Masyarakat kita yang sebelum ini kaya dengan adat Timur, kini semakin terhakis dan mula menerima pengaruh hidup cara Barat. Ideologi Barat mengatakan hal berkaitan seks perlu ditentukan sendiri oleh individu tanpa sekatan dan kongkongan adat atau agama tidak boleh diterima. 
 
Berdasarkan ideologi tersebut seseorang bebas melakukan hubungan seks dengan sesiapa disukai. Justeru, perempuan bebas dipelawa mana-mana lelaki untuk melakukan hubungan seks, dan perempuan bebas sama menerima atau menolaknya. Jika wujud paksaan, maka baru dianggap menyalahi undang-undang atau dipanggil rogol.
 
Apa yang berlaku adalah kejutan budaya yang melanda masyarakat kita, terutama anak muda. Kurangnya didikan agama dan perhatian ibu bapa menyebabkan budaya negatif menular dalam masyarakat. Lebih menyedihkan golongan dewasa juga turut melakukan perbuatan sama. 
 
Mereka yang melakukan seks bebas mendakwa hubungan seks hak mutlak seseorang seperti hak asasi berkaitan perkara lain. Maka kebebasan itu tidak boleh dihalang oleh sesiapa. Ibu bapa tidak berhak menghalang apa yang hendak dilakukan oleh anak gadisnya berkaitan seks. 
 
Amalan itu difikirkan dapat mengatasi masalah sekatan seks yang didakwa punca berlaku rogol. Malah mereka mendakwa amalan itu dapat mewujudkan hubungan lebih matang antara lelaki dan perempuan, tanpa dibebankan dengan ikatan perkahwinan yang banyak kerenah dan prasyarat.  
 
Namun, hakikatnya masalah itu tidak dapat diselesaikan. Di Barat kes rogol dan penderaan seks tetap berleluasa. Perempuan tetap menjadi mangsa akibat kerelaan sendiri.
 
Jalan terbaik menyelesaikan apa-apa berkaitan seks ialah melalui cara ditetapkan syariat iaitu perkahwinan. Institusi perkahwinan bukan sahaja membolehkan lelaki dan perempuan menjalani hubungan seks secara halal, tetapi banyak rahsia kebaikan di sebaliknya. 
 
Institusi perkahwinan membentuk hubungan yang bersifat lebih kukuh, ikhlas dan mewujudkan perasaan saling memerlukan antara lelaki dan perempuan. Melalui ikatan perkahwinan, semua pasangan menyimpan harapan agar dapat hidup bahagia sehingga ke akhir hayat. 
 
Hubungan zina pula semata-mata bertujuan kepuasan nafsu. Lelaki dan perempuan berkenaan hanya saling memerlukan untuk memuaskan nafsu. Hubungan akan putus apabila mereka saling tidak memerlukan dalam hubungan seks. 

No comments:

Post a Comment