Saturday 28 October 2023

LALANG RESORT BUKIT KUDUNG, JELI

 
Lalang Resort & Spa Bukit Kudung menjadi antara lokasi menarik di Jeli, Kelantan. Terletak di Kampung Gemang, berhampiran dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli menjadikan ia mudah dikunjungi dan memberi keselesaan kepada setiap pengunjung.
 
Di Bukit Kudung ada sebuah lata yang dikenali Lata Keding. Air yang mengalir menjadi tarikan pengunjung kerana keadaan jenih dan rasa sejuk. Kawasan sekelilingnya damai yang menyimpan seribu khazanah, flora dan fauna.

Bukit Kudung dikatakan ada menyimpan pelbagai rahsia sejarah yang tidak diketahui ramai. Antara kisah yang disingkapkan ialah dikatakan kawasan tersebut pernah memilik kubu yang menjadi tempat persembunyian komunis suatu ketika dahulu.

Kawasan tersebut menjadi pilihan pengganas komunis kerana pada masa dahulu berada jauh dari kawsan penempatan dan bersempadan dengan negara jiran iaitu Thailand.

Di Bukit Kudung yang setinggi 448 meter itu juga terdapat batu sempadan yang yang dikenali sebagai Batu 73 yang menandakan tanda sempadan dengan negara Thailand.

Bukit Kudung mula dikenali apabila ada individu mengambil inisiatif meneroka kawasan terbabit selepas membeli tanah kebun di kawasan itu. Tempat itu dimajukan sebagai pusat rekreasi kerana memiliki perlbagai faktor keindahan seperti air terjun yang jernih, dan kawasannya yang cantik.
 
Kawasan rekreasi ini menawarkan pelbagai kemudahan lengkap kepada pengunjung. Antara kemudahan yang disediakan seperti dewan terbuka, tapak perkhemahan, restoran, mini zoo serta tandas. Terdapat juga chalet dan asrama.

Laluan mendaki yang agak mencabar selain keindahan alam semula jadi yang tidak terusik menjadikan tempat ini unik dan sesuai untuk warga kota menghilangkan tekanan bekerja.
Keaslian sumber alam Khatulistiwa ini masih kekal terjaga dan berpotensi menjadi destinasi rekreasi bagi pencinta alam semula jadi.

Deruan air sungai jernih yang mengalir tenang, kicauan burung serta unggas yang mendamaikan dan kehijauan hutan rimba yang jauh dari kesibukan kota menjanjikan suatu pengalaman baru bagi pengunjung-pengunjung yang datang ke lata ini.

Laluan masuk ke tempat ini adalah berhadapan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli. Lokasinya kira-kira empat kilometer dari jalan utama. Boleh dilalui menggunakan kereta dengan selesa. 
 

No comments:

Post a Comment