Saturday 4 November 2023

MERBAH JAMBUL PERLU PENJAGAAN TELITI

Merbah jambul spesies burung tempatan semakin pupus. Kebanyakan burung merbah jambul yang diperlihara peminatnya diimport dari Thailand, Burma, Vietnam dan Kemboja. Dinamakan merbah jambul kerana pada bahagian kepalanya ada bulu berbentuk jambul menegak. 

Merbah jambul juga dipanggil burung candik di kalangan penduduk Kelantan. Seekor merbah jambul yang dibeli di Thailand berharga kira-kira RM50 seekor.
 
Burung merbah jambul dipelihara untuk tujuan mendengar kicauan suaranya. Suara burung yang nyaring dan merdu menjadi tarikan peminatnya. Bahkan, sesiapa yang kali pertama mendengar suara merbah jambul pasti akan jatuh hati padanya.
 
Peminat merbah jambul berkumpul bersama membawa burung masing-masing dan mendengar bunyi yang sahut bersahut antara burung-burung yang berada bersama. Pada waktu tertentu, ada pertandingan suara merbah jambul diadakan.
 
Pertandingan burung candik memilih burung paling sedap bunyinya. Burung yang menjadi juara bukan sahaja menjadi kebanggan pemiliknya, bahkan menjanjikan keuntungan berganda jika ingin dijual.
 
Burung candik berstatus juara tidak sukar untuk mendapat pembeli. Harga yang ditawarkan bergantung kepada berapa kali sudah menjadi juara. Kalau harga RM1000 seekor, itu dikira harga yang selayaknya bagi sang juara. Pun begitu, ada merbak jambul yang menjadi juara dijual dengan harga sehingga RM10,000 seekor.
 
Merbah jambul ini mempunyai peminat tersendiri dan ia sentiasa dijaga seperti anak sendiri terutama bagi mereka yang aktif menyertai pertandingan burung.
 
Dari segi sangkarnya kita perlu memastikan ia dalam keadaan bersih kerana jika kotor boleh menyebabkan burung ini mudah sakit. Jika sakit ia akan memberi kesan kepada kekerapan untuk ia berkicau.
 
Selain itu, pemakanan juga amat penting dengan memberi makanan yang sesuai dengannya iaitu palet khas untuk burung yang diperbuat daripada buah-buahan.
 
Selain itu, merbah jambul juga diberikan buah-buahan segar seperti pisang, betik dan timun. Pisang yang sesuai ialah jenis kebatu putih.
 
Burung ini juga memerlukan cahaya matahari yang mencukupi untuk menjamin kesihatannya. Jadi pada sebelah pagi, pemilik pasti membiarkannya terkena cahaya matahari sehingga tengah hari.
 
Untuk menjamin kesihatan merbah jambul yang dibela juga, ia biasanya dimandikan sehari sekali dengan hanya menyembur air supaya burung ini sentiasa dalam keadaan bersih. Najis perlu dibersihkan setiap hari. Bekas air dan makanan juga perlu dibersihkan setiap hari.
 
Merbah jambul yang sihat mampu berkicauan dengan aktif. Burung merbah jambul ini aktif pada sebelah siang.

No comments:

Post a Comment