Thursday 30 November 2023

SAMBUTAN PESTA LOY KRATHONG DI KAMPUNG BALAI

 
Pesta Loy Krathong yang disambut masyarakat keturunan Siam beragama Buddha yang tinggal di Malaysia. Ia merupakan pesta keramaian yang sangat popular dan disambut dalam suasana penuh meriah di kalangan kaum Siam. Masyarakat Siam di Malaysia ada kira-kira 60,000 orang.
 
Selain menonjolkan keunikan budaya masyarakat Siam, masyarakat majmuk negara ini perlu menghormati adat resam mana-mana kaum di negara ini kerana ia merupakan resipi perpaduan dan keharmonian negara ini.
 
Perayaan Loy Krathong telah diiktiraf oleh kerajaan serta dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara. Diharapkan budaya etnik Siam ini akan menjadi salah satu tarikan pelancong. Ia perlu dipelihara dan diperkasakan bagi menambah kepelbagaian kesenian dan kebudayaan di negara ini.
 
Pesta Loy Krathong lazimnya disambut setahun sekali iaitu pada hari ke-15 dalam bulan 12 mengikut kalendar Lunar Thai atau sekitar November. Sambutan ini telah disambut kira-kira 700 tahun dahulu semasa pemerintahan kerajaan Sukhothai di Thailand.
 
Perkataan Loy Krathong adalah gabungan dua perkataan yang membawa maksud yang tersendiri iaitu 'Loy' dalam bahasa Thai bermakna hanyut atau mengapungkan. Manakala 'Krathong' pula bermaksud bunga teratai.
 
Dalam erti kata lain Loy Krathong bermaksud menghanyutkan atau mengapungkan bunga teratai. Mengikut adat dan kepercayaan, sambutan ini bertujuan melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Dewi Air. Upacara menghanyutkan bunga teratai bertujuan menghapuskan dosa para penganutnya dan memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.
 
Pesta tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian Siam serta pertandingan Ratu Krathong.
 
Pengunjung masyarakat Siam yang hadir masing-masing membawa bunga teratai (krathong) untuk upacara pembacaan mentera oleh para Bhikkhu (sami Buddha). Upacara pembacaan mentera dengan harapan untuk mendapat restu dan kemuliaan daripada para Bhikkhu, selaku pendeta agama Buddha.
 
Selepas upacara berkenaan tamat, kira-kira pukul 12 tengah malam, perarakan Krathong bermula menuju ke tasik atau sungai berdekatan. Kemudian, lilin dalam Krathong yang dibawa dinyalakan sambil mereka berdoa sesuatu dengan penuh harapan dan seterusnya menghanyutkan ke dalam tasik berkenaan.
 
Di Kelantan, Pesta Loy Krathong di adakan di wat-wat yang terdapat di Tumpat yang terdapat banyak kaum Siam tinggal di kawasan itu. Selain itu, di Bachok pula, Pesta Loy Krathong merupakan acara tahunan yang sentiasa dianjurkan oleh Wat Pathumviharn, Kampung Balai sejak 29 tahun lalu. Sambutannya amat meriah dengan pelbagai acara yang mendapat penyertaan kaum Siam seluruh Kelantan dan luar Kelantan.


No comments:

Post a Comment