Thursday 30 November 2023

KEAKRABAN HUBUNGAN KAUM DI KELANTAN

 
Kedudukan Kelantan yang bersempadan dengan Siam (Thailand) menjadikan negeri yang turut digelarkan Serambi Makkah tempat tinggal banyak kaum Siam. Kaum Siam yang telah lama menetap di Kelantan menjadi sebahagian kaum peribumi atau bumiputera. Mereka bercakap bahasa Melayu loghat Kelantan dengan fasih sehingga sukar dikesan bahawa mereka adalah kaum Siam. Hal yang sama berlaku di kalangan Cina Peranakan Kelantan.
 
Senario keakraban di antara masyarakat Siam dengan rakan berbagai bangsa lain di Kelantan, pada tahun-tahun 70-an, amat membanggakan. Mereka hidup dalam suasana harmoni dan saling memahami. Tiada ada perasaan prejudis dan jauh sama sekali ada perasaan dendam dan bermusuhan.
 
Maka sebab itu, rakan berbeza bangsa dan anutan agama dapat bersama-sama di pelbagai majlis. Mereka dijemput sama meraikan. Masakan disediakan berasingan untuk rakan berbangsa Melayu. Bahkan, dalam keadaan majis yang melibatkan acara keagamaan yang khusus bagi sambutan itu, ada hari lain yang diadakan untuk orang Melayu tanpa melibatkan acara keagamaan.
 
Untuk mengurangkan kerumitan, ada yang menjemput untuk ‘minum teh’ sahaja. Tempat pula tidak menjadi masalah bagi rakan Melayu, sama ada di rumah, dewan atau perkarangan rumah ibadat. Jamuan dan hidangan disediakan oleh orang Melayu yang dilantik tuan rumah.
 
Selain perkahwinan dan ‘naik’ rumah baru, tetamu turut dijemput ke majlis keagamaan seperti anak lelakinya menjadi bhikkhu. Namun bukan untuk menyertai upacara/ritual keagamaan, cuma untuk hadir berkongsi saat gembira dan bangga sebuah keluarga.
 
Walaupun kurang pengetahuan, mungkin kerana tidak berpeluang untuk bersekolah, namun masyarakat Siam dan Cina Peranakan ketika itu sedia maklum tentang larangan bagi rakan berbangsa Melayu. Mungkin hasil daripada pergaulan yang rapat, mereka saling faham memahami. Bahkan, mereka akan mengingatkan perkara-perkara yang haram dilakukan oleh orang Islam dalam acara sambutan itu.
 
Malang sekali suasana harmoni dan muhibah semakin terhakis, biarpun diakui masih kuat diamalkan di Kelantan. Sikap pemimpin politik dan ahli agama yang ekstrem menyebarkan propaganda yang menyebabkan timbul perasaan “ragu-ragu” dalam hubungan.
 
Selain itu, perubahan corak pergaulan (di sekolah dan tempat kerja) pola tempat tinggal dan bahasa perhubungan yang berbeza ketika ini telah mengurangkan keakraban tersebut. Kesannya perjudis bertambah. Salah faham sering berlaku.
 
Fatwa atau garis panduan keterlibatan penganut Islam menyertai ritual agama lain sangat membantu untuk mengurangkan salah faham tersebut. Ia bukan sahaja menjadi panduan kepada penganut Islam agar tidak melakukan perkara ditegah agama, ia turut menjadi pengetahuan kepada bukan Islam tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan rakan beragama Islam.
 
Dengan adanya, garis panduan itu, kedua-dua pihak, yang menjemput dan yang dijemput, harus saling faham akan perbezaan di antara ‘menghadiri’ (dan memerhati) dengan ‘menyertai ritual’. Hadir di perkarangan rumah ibadat tiada menjadi masalah kepada tuan rumah. Seharusnya juga begitu bagi tetamu kerana tempat itu juga tempat awam.  
 
Tuan rumah juga tidak berhasrat untuk menjemput tetamu mereka (yang berbeza bangsa/agama) menyertai mana-mana ritual. Pastinya tiada terlintas di fikiran untuk memperdaya, apatah lagi untuk memaksa.
 
Semoga kita semua dapat menggunakan segala kewarasan untuk berfikir, bercakap dan bertindak dengan sebaik mungkin bagi mengekalkan keharmonian sesama kita, meskipun tidak mencapai tahap keakraban pada tahun-tahun 70-an.
 
Cubalah belajar untuk mengetahi secara asas berkaitan perbezaan di antara ritual agama dengan acara budaya setiap bangsa dan agama.




No comments:

Post a Comment