Wednesday 14 February 2018

TAHUN BARU CINA IKUT KALENDAR LUNAR

Tahun Baru Cina disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di seluruh dunia kerana ia  menandakan kelahiran tahun baru mengikut kalendar lunar. 

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan.

Tahun Baru Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama zodiak Cina (nama haiwan).

Nama 12 haiwan yang menaungi kalendar lunar ialah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap haiwan membawa signifikasi yang tersendiri.

Lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja yang sampai.

Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina Buddha.

Pada malam Tahun Baru Cina, semua ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk jamuan makan besar bagi mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga.

Bagi yang belum berkahwin, mereka layak untuk menerima angpau. Pada perayaan Tahun Baru Cina, angpau biasanya diberi oleh yang sudah berkahwin kepada yang belum berkahwin. Sesiapa yang belum berkahwin layak menerimanya tanpa mengira usia.

Pemberian angpau oleh masyarakat Cina merupakan tradisi utama mereka yang bermaksud kebahagiaan yang berpanjangan. Angpau sering diberikan dalam majlis sosial dan keluarga seperti jamuan perkahwinan Cina atau ketika perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Sepanjang perayaan ini, tarian singa akan dimainkan dari rumah ke rumah untuk memberi berkat serta kesejahteraan kepada keluarga yang dilawati.

Ucapan ‘Kong Hee Fatt Choy’ akan diucapkan yang bermaksud ‘ semoga tahun ini akan membawa kebaikan’. Tetamu berkunjung membawa limau mandarin, yang bermaksud kekayaan.

No comments:

Post a Comment