Sunday 1 March 2020

GONG ALAT MUZIK TRADISIONAL

Gong salah satu peralatan muzik tradisional yang mengiringi persembahan seperti wayang kulit, dikir barat, menora, silat, main puteri, tarian asyik, mok yong dan sebagainya.

Gong ada dua bentuk. Pertamanya yang khusus iaitu satu yang mempunyai ‘busut’ atau ‘tombol’ dan secara umumnya telah ditakrifkan sebagai ‘knobbed gong type’ dan satu lagi ialah tanpa busut atau tombol dan telah ditakrifkan sebagai ‘flat gong type’.

Perkataan gong umumnya digunakan secara meluas di seluruh dunia sekarang ini berasal dari perkataan Melayu Nusantara. Nama gong adalah berdasarkan kepada bunyi yang diterbitkan oleh alat berkenaan iaitu 'gong'.

Sejarah kemunculan awal alat gong jenis berbusut di dunia bermula di Asia Tenggara dan disifatkan sebagai alat ‘asli’ bagi masyarakat Melayu. Gong berbusut yang diakui pernah ditemui di Indonesia bertarikh kira-kira 1000 S.M.

Sungguhpun ada pendapat yang mengatakan bahawa gong telah wujud di negara China sejak dari zaman pemerintahan Dinasti Zhou lagi (1122-1229 S.M).

Keluarga gong di Malaysia secara umumnya adalah terdiri daripada jenis-jenis yang berbusut. Ianya diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti tembaga, timah dan besi. Terdapat di dalamnya pelbagai bentuk dan ukuran yang kelihatan begitu berbeza-beza di antara satu sama lain termasuk juga ‘pic’ (sukatan bunyi).

No comments:

Post a Comment