Ada
pihak menyalahkan politik punca perpecahan ummah. Mereka sebenarnya tidak faham
makna ‘politik’ dan ‘parti politik’. Politik asalnya
dengan maksud ‘siasah’ yang bermaksud pentadbiran, pengurusan, kepimpinan
dan sebagainya. Parti politik pula adalah pertubuhan atau persatuan yang
didaftarkan untuk menjalankan aktiviti politik.
Dengan kata lain, asas politik adalah murni
dan satu keperluan. Kehidupan manusia perlukan kepada kepimpinan, penyatuan
fikiran, berkerjasama dan sebagainya. Maka sebab itu lahirnya apa yang
dinamakan parti politik bertujuan untuk menyatu dan memimpin masyarakat dan
seterusnya melahirkan sebuah negara yang makmur.
Namun, sejak cara fikir politik Barat
muncul, banyak teori politik muncul. Akhirnya mengheret kepada maksud politik yang
salah. Politik yang dilihat sebagai keterlaluan dan membawa kepada keburukan. Contohnya
pemikiran realisme, pragmatisme, machiavelinisme dan lain-lain.
Sebab itulah hari ini kita saksikan
generasi yang menyampah dengan politik. Yang mereka bencikan bukanlah
pengurusan, pentadbiran atau kepimpinan. Akan tetapi yang mereka bencikan
adalah maksud politik yang tersimpang, sehingga ia dianggap kotor.
Bukanlah mudah untuk membetulkan cara fikir
yang salah terhadap politik. Ia mengambil masa yang panjang.
Kefahaman politik Islam perlu dihuraikan,
diajar dan dipersembahkan bagi membendung salah faham ini. Manakala cara fikir
politik Barat perlu dibendung. Pilih hanya yang baik dan tinggalkan yang buruk,
kerana ia tidak semuanya tidak elok.
Apa yang kita bimbangkan, apabila hilang
erti politik yang memberi maksud pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan, akan
lahirlah negara yang tidak terurus, negara yang tidak terpimpin dan sebagainya.
Maka, akan hilanglah erti ‘kemakmuran’.
Kuasa politik itu amat penting selagi ia
diuruskan mengikut kehendak dan peraturan ditetapkan Islam. Al-Quran dan sunah
telah menunjukkan cara berpolitik yang betul. Bahkan, Rasulullah SAW telah
mempraktikan politik yang betul untuk diikuti umat Islam dan seluruh manusia.
Kekuatan Islam berkembang ke seluruh Tanah
Arab dan membentuk Tamadun Islam adalah hasil kekuatan politik yang berpaksikan
kepada panduan al-Quran dan sunah. Pemimpin Islam dahulu menguasai tampuk
pemerintahan untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah untuk menegakkan
kebenaran dan menghapuskan kebatilan.
No comments:
Post a Comment