Wednesday, 27 December 2017

Serang Lawan Dalam Kedudukan Sendiri Lemah

Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 14 dijangka sengit. Barisan Nasional (BN) pasti berusaha mempertahankan tampuk kekuasaan. Manakala, Pakatan Harapan (PH) berasa ini masa terbaik untuk berkuasa ketika BN dianggap semakin ditolak rakyat.

Justeru, seluruh jentera parti, tidak kira di pihak mana, bersungguh-sungguh melipat ganda usaha menarik perhatian pengundi. Apa sahaja isu akan dibangkitkan atau diperbesarkan untuk menunjukkan kelemahan pihak lawan.

Hakikatnya, untuk menang, pastikan dahulu kekuatan sendiri. Menyerang lawan dengan keadaan sendiri lemah tidak akan membuahkan kejayaan.

Masalah dalaman parti antara punca kelemahan parti. Mana-mana parti ingin memang, pastikan tidak wujud masalah dalam parti di semua peringkat.

Kalau berlaku masalah dalaman di peringkat bahagian, cabang atau kawasan, jentera parti tidak akan berfungsi dengan baik. Lebih parah berlaku cah keting atau guting dalam lipatan.

Bagaimana hendak lawan musuh sedangkan kekuatan sendiri telah tiada. Kalah sebelum berjuang.

Memandangkan kebanyak parti menangguhkan permilihan peringkat tertinggi parti sehingga selepas PRU, maka ada segelintir pemimpin lebih berminat untuk merebut jawatan dalam parti berbanding kemenangan parti dalam PRU.

Kalau dirinya tidak dipilih sebagai calon semasa PRU nanti, maka akan dipastikan calon yang dinamakan itu akan kalah dalam pilihan raya.

Tujuannya mudah difahami. Jika calon itu menang dalam PRU, maka kedudukannya atau peluang untuk menang dalam pemilihan parti lebih besar.

Maka, untuk mengelak keadaan itu berlaku, maka calon itu perlu kalah dalam PRU. Masing-masing tidak bergelar YB dan tiada jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau Negeri, maka peluang mereka dalam pemilihan parti adalah seimbang.

Inilah dikatakan kepentingan diri melebihi kepentingan parti dan negara. Pemimpin bersikap demikian perlu dinyahkan dari parti dan perlu dipulau ahli parti. 

No comments:

Post a Comment