Bermula Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14
(2018) UMNO tidak seperti 13 PRU sebelumnya. UMNO bersama parti komponen
Barisan Nasional (BN) lain hilang kuasa tampuk kepimpinan negara.
Biarpun 22 bulan kemudian UMNO kembali
menyertai kabinet yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yasin melalui Langkah
Sheraton dan kemudian pemimpin UMNO diangkat menjadi perdana menteri iaitu Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob, hakikatnya UMNO masih belum mendapat kembali
kedudukan yang utama sebagai peneraju negara.
Begitu juga selepas PRU-15, UMNO yang turut
menganggotai kabinet Kerajaan Perpaduan dengan diberikan kerusi nombor dua
kepimpinan negara kepada Presiden UMNO, hakikatnya kuasa UMNO belum berada pada
kedudukan asal.
Perlunya kedudukan bagi UMNO bukan untuk
kepentingan pemimpin, tetapi bagi meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan
negara yang digalas UMNO sejak penubuhannya.
Untuk mendapat kembali kedudukan, ahli UMNO
perlu berhijrah. Hijrah demi menyelamatkan maruah. Hijrah demi mempertahankan
dakwah dan perjuangan Islam. Hijrah demi mengelakkan mudarat besar menimpa agama
dan bangsa.
Antara bentuk hijrah yang perlu dilakukan ialah
buang sikap ego dan berasa diri masih berkuasa. Terimalah hakikat bahawa UMNO
sekarang ini sekadar “penumpang” dalam keluarga besar Kerajaan Perpaduan.
Jika tanpa menyertai Kerajaan Perpaduan,
UMNO boleh dikatakan tiada apa-apa. Tanpa kuasa, UMNO tidak mampu untuk terus
berfungsi membela dan mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Inilah masanya untuk UMNO merawat luka
kekalahan. Membina kembali kekuatan yang telah runtuh dua kali PRU. Mencari
semula tidak kekuatan untuk kembali berdiri.
Untuk mencapai hasrat itu, UMNO tiada
pilihan melainkan berada dalam Kerajaan Perpaduan. Lebih-lebih lagi penyertaaan
atau pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang Dipertuan Agong demi
melihat sebuah negara bangsa yang stabil dan kuat.
UMNO tiada pilihan. Tidak boleh menentukan
siapa yang boleh dijadikan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan. Maka, jika yang ada
dalam Kerajaan Perpaduan itu “musuh”, maka kenalah ditukar menjadi sahabat.
Bersahabat dengan “musuh” bukan satu dosa.
Jika ia bertujuan mencipta kebaikan, itu satu pahala. Jangan terlalu takut
kepada “musuh” yang ingin dijadikan sahabat. Memang bukan bermakna percaya 100
peratus, kerana dengan sahabat pun bukan boleh percaya 100 peratus. Banyak sahabat
sanggup tikam belakang, menjadi gunting dalam lipatan dan api dalam sekam.
Ingat, banyak bangsa musnah bukan kerana
diserang musuh, tetapi disebabkan musuh dalam selimut. Banyak yang mengaku setia,
tetapi menangguk di air keruh.
Sedangkan musuh memang kita sentiasa
berjaga-jaga dengan tindak tanduk mereka. Kita lebih berhati-hati. Sebab itu
ada orang lebih rasa selamat berkawan dengan “musuh” berbanding dengan kawan
yang mengaku setia.
Ahli UMNO perlu melakukan hijrah yang besar
untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar akan berlaku. Berkawan dengan “musuh”
lebih baik jika ia memberi kekuatan, berbanding bekerjasama dengan kawan yang
menjadikan UMNO lebih lemah.
Berjuang dengan sehabis tenaga dan semangat
untuk mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri
ini adalah jihad untuk membuktikan bahawa berkawan dengan “musuh” memberi
kebaikan kepada UMNO.
Seruan agar tidak memenangkan calon UMNO
pada PRN dengan harapan akan memberi isyarat kepada Presiden dan pemimpin
tertinggi parti agar meninggalkan “musuh” yang ingin membantu adalah langkah ke
belakang. Pelik sungguh golongan yang ingin melihat UMNO kalah pada PRN nanti.
Ayuh, buktikan UMNO lebih kuat dan dapat
memperbaiki kedudukan di keenam-enam negeri yang mengadakan PRN. Seluruh ahli
UMNO perlu berhijrah minda untuk melihat peluang yang lebih baik dan terbuka
pada PRN nanti.
No comments:
Post a Comment