Sunday 1 December 2019

BOLEH AKAD NIKAH TANPA KEHADIRAN WALI

"Saya panik melihat keadaan ayah dan mahu membatalkan majlis pernikahan tetapi ditentang ibu serta ayah. Ayah minta saya teruskan juga dengan berwalikan abang atau bapa saudara."

“Apabila mendapat kebenaran, saya dan ahli keluarga serta jurunikah bergegas ke hospital pada petang itu dan saya selamat dinikahkan dengan berwalikan imam sambil disaksikan ayah pada 6.30 petang,” katanya.

Dua perenggang di atas disalin dari sebuah berita di laman portal sebuah akhbar.

Sekali baca, tentu ramai tidak sedar bahawa ada kesalahan telah berlaku dari sumber punca.

Ini berlaku mungkin kerana salah faham atau kejahilan dari segi hukum agama.

Ayat, “Ayah minta saya teruskan juga dengan berwalikan abang atau bapa saudara' membuktikan bahawa tidak faham mengenai hukum berkaitan 'wali'.

Dalam kes bapa masih hidup, tugas wali tidak boleh diserahkan kepada wali lain. Tanggungjawab wali hanya akan 'turun' mengikut susunan jika individu berkenaan telah meninggal dunia.

Dalam kes wali berada di hospital atau di mana-mana tempat, wali boleh mewakil wali kepada jurunikah walaupun tanpa hadir di majlis akad nikah.

Proses wakil wali boleh dilakukan tanpa bersemuka seperti menggunakan tulisan ataupun suara melalui telefon.

Bagi tujuan kepastian, jurunikah boleh bertemu bersemuka dengan wali untuk mendapat wakil wali dan majlis pernikahan boleh dilakukan di mana-mana tanpa wali ada bersama.

Jadi, dalam kes wali berada di hospital, majlis akad nikah tidak semestinya dilakukan di hospital setelah mendapat wakil wali dari wali.

Ayat 'saya selamat dinikahkan dengan berwalikan imam sambil disaksikan ayah', juga menunjukkan tidak faham mengenai proses akad nikah.

Imam atau jurunikah bukan wali, tetapi hanya menjadi wakil wali dalam menjalankan akad nikah. Sebab itu disebut 'memberi wakil wali' oleh wali kepada jurunikah.

Jelas sekali, laporan itu telah 'dicemari' oleh fakta yang salah. Kesalahan berlaku disebabkan memetik kenyataan salah dari sumber.

Wartawan yang melaporkan tidak sepatutnya melaporkan sesuatu yang mengelirukan pembaca apabila memetik terus kata-kata sumber. Wartawan perlu faham apa yang dilaporkan.

No comments:

Post a Comment