Tuesday, 13 April 2021

HUKUM BERMAIN MERCUN DI SISI ISLAM

Bermain mercun boleh menyebabkan berlakunya kemudaratan pada diri sendiri dan orang lain seperti putus jari, buta mata, kecacatan dan kebakaran.

Menjadi prinsip penting dalam Islam semua perkara yang boleh mendatangkan bahaya dan membawa mudarat kepada diri dan orang lain adalah diharamkan.  Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Nabi SAW bersabda ertinya: “Tidak boleh seseorang memudaratkan dirinya sendiri dan tidak boleh pula memudaratkan orang lain”

Dalam hadis lain: ”Barangsiapa yang membawa mudarat maka Allah akan memudaratkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya pula” (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan Tirmizi)

Alasan lain larangan dan permainan bermain mercun adalah ia perbuatan membazirkan. Islam melarang sebarang bentuk pembaziran.

Bermain mercun adalah satu bentuk pembaziran kerana wang yang digunakan dibakar dan diletupkan begitu sahaja semata mata ingin menikmati bunyi yang sebenarnya membingitkan.

Islam menggalakkan kita memperbanyakkan sedekah terutama di bulan Ramadan bukannya membeli mercun. Membazir terhadap harta itu haram kerana Nabi melarang dari melakukan hal yang demikian.

Letupan mercun juga menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam yang ditegah dalam Islam. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak halal bagi seorang muslim membuat muslim lain terkejut” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Di dalam hadis riwayat Bukhari, disebutkan bahawa Rasulullah SAW melarang kita menyakiti jiran sekeliling. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya.”

Islam mewajibkan kita agar memelihara hak sesama jiran, sedangkan bermain mercun boleh mengganggu jiran tetangga. Boleh jadi di kalangan jiran kita ada yang sakit, uzur, sedang berehat, dan boleh jadi ada anak kecil sedang tidur di rumah. Maka kerana bermain mercun kita telah mengganggu dan menyakiti hati jiran tetangga kita..

Dalam hadis lain disebutkan: “Seorang muslim itu adalah seseorang yang selamat lisan dan tangannya dari (mengganggu) orang lain.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan bermain mercun adalah satu kesalahan di sisi undang-undang. Ia terkandung dalam Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 4 (2) memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment