Friday 13 August 2021

KEMBALI BERTAUT DEMI MEMBINA KEKUATAN

Sesungguhnya, pemimpin politik, terutama dari UMNO perlu bersatu dan berusaha menyelesaikan masalah melanda negara ketika ini. 

Seharusnya semua pihak mengenepikan perbezaan, berhenti mengkritik dan mengemukakan syor bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

Gagal kerana belum berjaya dalam usaha, lebih baik daripada berjaya kritik tapi gagal beri solusi.

Mari bersatu hati, gabung usaha, kritik dan solusi, ketepi dulu perbezaan, utamakan negara dan semua rakyat jelata.

Tindak tanduk pemimpin UMNO diperhati pengundi. Sebenarnya UMNO masih diyakini sebagai wadah perjuangan memperkasan agama, bangsa dan negara.

Sudah ada bekas pemimpin UMNO kembali menyertai UMNO. Inilah manifestasi tindakan Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar mengumum peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Temerloh serta merta dan kembali ke pangkuan UMNO.

Namun, jika pemimpin UMNO saling berpecah sesama sendiri, keadaan boleh berlaku sebaliknya. Pemimpin akan meninggalkan parti jika saling mematikan dan mencalarkan imej sesama sendiri.

Keadaan sekarang, ketika negara sedang tenat dengan ancaman COVID-19, perkara yang perlu diutamakan ialah menumpukan perhatian mengawal pandemik tersebut, dan membantu rakyat yang semakin terjejas.

Kemelut politik tercetus apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos lalu mengumumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, tiga hari selepas itu, Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) serta Muhyiddin sehingga keabsahan Perdana Menteri ditentukan di Dewan Rakyat. 

Tidak wajar pemimpin UMNO saling menyalah antara satu sama lain. Menang menjadi arang kalah menjadi abu. 

Perkara yang perlu dilakukan sekarang ialah perkukuhkan potensi kekuatan yang masih ada. Bukan mencantas sesama sendiri. Untuk kekal kuat kita perlu bergabung, bukan saling memisahkan diri dari kumpulan. 

No comments:

Post a Comment