Thursday 20 January 2022

KEWAJIBAN BEKAS SUAMI MEMBERI MUTAAH

 
Mutaah adalah pemberian dari bekas suami kepada bekas isteri yang diceraikan. Seksyen 2 (1) Akta Undang Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memberi tafsiran mutaah sebagai: “Mutaah ertinya bayaran sagu hati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan”

Jadi bayaran mutaah adalah wajib bagi seorang suami yang menceraikan isteri dalam penuh ketaatan kepada suaminya sama ada isteri itu telah disetubuhi ataupun tidak, sama ada ia sudah ditentukan mahar ataupun tidak.

Mutaah ialah nama bagi harta yang dibayar atau diberikan oleh seorang lelaki kepada isterinya disebabkan oleh perpisahan dengan perempuan itu.

Seorang isteri berhak menuntut mutaah malahan wajib hukumnya seorang suami memberi mutaah kepada isteri yang diceraikannya seperti yang terdapat dalam Hukum Fiqh yang terdapat dalam Kitab I’aanah al-Talibin Juzuk 3 muka surat 595 yang bermaksud: “Wajib ke atas suami membayar mutaah kepada isteri yang sudah disentuh (disetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba dengan sebab berlaku perceraian yang bukan dari pihaknya dan perceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua mereka”.

Jadi berapa kadar mutaah yang wajib dibayar? Sebenarnya, tiada penentuan nas mengenai kadar mutaah yang perlu dibayar kepada isteri yang diceraikan. 

Faktor penentuan kadar mutaah berkisar kepada tiga faktor berikut iaitu:
(a) Keadaan kemampuan suami semasa bercerai untuk membayar mutaah
(b) Sifat atau kedudukan isteri;
(c) Nasab isteri.

Bayaran mutaah ini bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya.

Di antara hikmah di sebalik pemberian mutaah ini adalah seperti berikut:
(a) Menutup rasa malu isteri-isteri yang diceraikan;
(b) Menghindarkan diri dari fitnah dan membolehkan isteri itu untuk berdikari dan memulakan hidup baharu selepas bercerai;
(c) Menghilangkan perasaan sedih bekas isteri;
(d) Sebagai penghargaan daripada suami atas sumbangan dan peranan isteri.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat. Sila kongsikan maklumat agar lebih ramai yang mengetahui hak mereka.

Sumber: Media sosial
Gambar hiasan: Kereta mainan

 

No comments:

Post a Comment