Wednesday, 25 July 2018

BUDAYA NEGATIF SAMBUTAN TAHUN BAHARU

Detik 12 malam 31 Disember saat dinantikan penduduk seluruh dunia sebagai permulaan tahun baharu Masihi. Timbul persoalan, wajarkah umat Islam menyambut tahun baru Masihi? Tambah lagi, sambutan itu dikaitkan dengan agama lain. 

Tahun baru Masihi dikira berdasarkan kelahiran Nabi Isa yang dikaitkan dengan agama Kristian. Maka banyak pendapat mengatakan tidak wajar kita menyambut tahun baharu Masihi yang menyamai dengan agama lain.

Perkara ini perlu dilihat berdasarkan prespektif Islam agar apa dilakukan tidak bertentangan syariat Islam. Hakikatnya, Nabi Isa adalah salah seorang nabi daripada 25 nabi dan rasul yang wajib dipercayai sepertimana dikehendaki Rukun Iman, yakni Percaya Kepada Rasul-rasul.

Penggunaan kalender Masihi meluas di seluruh dunia. Bermakna orang Islam terpaksa menerima penggunaan kalander Masihi untuk urusan tarikh dengan masyarakat dunia. Maka, Islam tidak melarang menggunakan tarikh Masihi.

Tentang sambutan tahun baru, tidak ada tegahan khusus mengenainya. Maka amalan itu harus selagi tidak melibatkan perkara buruk. Sambutan itu diharuskan berasaskan kaedah fiqh yang mengatakan bahawa: “Hukum asal setiap perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan haram."

Contohnya, kebiasaan sambutan tahun baru disertai dengan dengan semangat baru, perancangan atau sesuatu kebaikan ingin dicapai pada tahun baru. Perubahan kepada kebaikan amat ditutut dalam Islam. Islam mengajar umatnya agar sentiasa berusaha untuk berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik dan meninggalkan sesuatu yang tidak baik.

Syaidina Umar mengungkapkan kata-kata bermaksud: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”

Ungkapan itu jelas menunjukkan kepada kita betapa perlunya setiap muslim meningkatkan keimanan dan nilai kehidupan setiap masa, sehari demi sehari dan setahun demi setahun secra berterusan.   

Namun, amat mendukacitakan apabila sambutan tahun baru diamalkan banyak bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Dengan kata lain perkara ditegah dan mendatangkan dosa. Akibat itulah, maka masyarakat melihat sambutan tahun baru sebagai tidak wajar dan menggalakkan maksiat.

Sebut saja acara sambutan tahun baru, maka dikaitkan dengan hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan mengasyikkan. Mereka jadikan sambutan tahun baru sebagai perayaan manusia sejagat tanpa mengira agama dan bangsa. Maka itu tidak ada batasan adat dan agama yang difikirkan, melainkan kegembiraan bersama.

Jelas, sambutan bukanlah bertujuan menanam semangat tahun baru, tetapi untuk bersuka ria semata-mata. Mereka bukan mencari sesuatu kebaikan untuk diamalkan pada awal tahun dan seterusnya dilakukan sepanjang tahun yang bakal mendatang.    

Golongan muda mudi menjadikan acara sambutan sebagai pesta lebih hebat berbanding hari biasa. Keadaan bertambah teruk apabila ada pihak penganjur mengambil kesempatan mengadakannya secara lebih terbuka atas alasan sambutan tahun baru.  

Tindakan muda mudi bergembira menyambut tahun baru mencerminkan kehidupan bebas di luar kawalan. Acara sambutan bukan sekadar dilakukan sehingga pukul 12 malam sebagai  detik tahun baru, bahkan berlarutan pukul tiga atau empat pagi.

Dalam keadaan itu, banyak perkara menyalahi batasan agama dan budaya. Pergaulan bebas lelaki perempuan semasa sambutan tahun baru bukan sekadar dalam majlis tari menari dan hiburan, tetapi melarat sehingga ke tempat lain.  

Pergaulan bebas mudah merangsang kepada hubungan seks. Keadaan ini menjadi semakin ketara apabila berada dalam pengaruh arak. Banyak majlis tari menari dan sosial turut melibatkan minuman arak. 

Ada pihak tidak bertanggungjawab secara terbuka menawarkan pakej sambutan tahun baru berbentuk pesta seks. Tahun baru yang sepatutnya disambut dengan azam memperbaiki kehidupan telah dimulai dengan noda dan kemusnahan nilai diri.     

Arak bukan sahaja haram di sisi Islam, tetapi juga perbuatan tidak bermoral di sisi agama lain. Semua penganut setia agama tidak mengamalkan meminum arak. Mereka sedar keburukan arak memusnahkan kehidupan manusia. 

Pengaruh arak membahayakan keselamatan ketika memandu. Memandu dalam keadaan pengaruh alkohol menyebabkan kes kemalangan jalan raya pada malam sambutan tahun baru meningkat berbanding hari biasa.

Bagi ‘mat-mat motor’ menjadikan malam sambutan tahun baru masa untuk berlumba haram. Mereka mengambil kesempatan mempamerkan aksi ‘maut’ di hadapan orang ramai. 

Berdasarkan fenomina itu, amatlah wajar pihak berkuasa lebih tegas mengawal acara sambutan tahun baru. Jangan biarkan acara dan perbuatan tidak baik mewarnai sambutan tahun baru.  Tindakan ini penting bagi mengelak daripada menular budaya negatif di kalangan rakyat.  Kejatuhan moral rakyat adalah titik permulaan kepada kejatuhan tamadun sesuatu bangsa. 

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang telah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa telah berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun baru.

No comments:

Post a Comment