Wednesday, 25 July 2018

BANTERAS PESTA SONGSANG TAHUN BAHARU

Sambutan tahun baharu adalah ritual yang dilakukan di kota-kota besar di dunia pada setiap kali menjelang detik pukul 12 malam pada 31 Disember. Sambutan itu tidak terkecuali di Malaysia. Kehebatan sambutan di Malaysia tidak kurang hebatnya apabila ada pelancong yang menjadikan negara kita lokasi untuk menyambut tahun baharu. 

Di sebalik kemeriahan sambutan ambang tahun baharu dengan percikan bunga api yang menyimbah cahaya ke dada langit, perkara buruk lebih banyak diperkatakan. Biarpun sambutan seringkali dikaitkan dengan azam tahun baru, hakikatnya yang hadir memeriahkan sambutan tahun baru sebenarnya mereka yang memburu hiburan dan bersukaria secara melampau.

Sekiranya ingin berazam dan menetapkan harapan ingin dicapai sepanjangan tahun baru yang bakal dihadapi, tidak perlulah kepada bentuk sambutan yang dipenuhi hiburan dan bersukaria melampau. 

Secara tuntasnya, masyarakat di negara ini ternyata terikut-ikut dengan cara dan gaya sambutan tahun baru di negara luar yang melampau. Mereka bukan menumpukan kepada azam dan menginsafi cabaran yang bakal dihadapi pada tahun baru mendatang.

Maka itu, timbul persoalan mengapa sambutan perlu dilakukan semata-mata ingin memenuhi kehendak mereka yang inginkan hiburan. Masih tidak cukupkah hiburan yang terhidang selama ini sehingga terpaksa diadakan secara besar-besaran bermula seawal petang 31 Disember hingga lewat pagi 1 Januari?

Hiburan ekstrem berjam-jam ini bukan saja terhenti apabila tamat program yang dianjurkan secara rasmi oleh kerajaan atau pihak yang diberikan kebenaran menganjurkannya, tetapi berterusan sehingga ke subuh. 

Bentuk hiburan itu bukan sekadar nyanyian atau hiburan biasa, tetapi dalam bentuk tidak terkawal seperti melibatkan hidangan arak, penggunaan dadah dan seks bebas. Di kalangan mat rempit pula akan menjadikan jalan raya sebagai medan menunjukkan aksi ngeri yang bukan saja membahayakan diri sendiri, bahkan pengguna jalan raya lain juga.

Persoalan, kenapa perlu kita mengikut amalan buruk orang luar menyambut tahun baru. Fenomina sambutan tahun baru secara ‘tidak bertamadun’ ini bukan perkara baru. Ia sudah berulang-ulang setiap tahun. Jadi, mengapa pihak kerajaan melalui agensi yang berkaitan tidak dapat merangka untuk menghalang perkara buruk ini berulang lagi?

Kita cukup bimbang dengan gelagat gila anak-anak muda Malaysia, tidak kira Melayu, Cina atau India yang menganggap seolah-olah sambutan ambang tahun baru adalah lesen untuk mereka melakukan apa saja termasuk menganggu orang lain. Mereka mengganggu lalu lintas, membuat bising, menyumbur air, melontar sesuatu yang dianggap bentuk gurauan dan sebagainya. 

Pada perkiraan mereka gelagat melampau itu sebagai tanda kegembiraan. Lantaran itu, mereka yang menjadi mangsa juga perlu ‘menerima’ perbuatan itu sebagai bergembira bersama. Jangan kita samakan orang lain dengan kita.  Mereka yang menjadi mangsa itu mungkin sekadar melalui kawasan itu untuk ke tempat lain. Sudah pasti mereka juga bukan ingin diperlakukan sedemikian. 

Budaya masyarakat luar berhibur dan menyambut ambang tahun baru tidak sesuai diterapkan di negara kita. Acuan hidup dan budaya kita tidak sama dengan di tempat lain. Masyarakat kita ada adat yang perlu dijaga sebagai batasan ditetapkan agama dan bangsa. Sikap meniru buta tuli bukan mencerminkan tranformasi yang dicanangkan oleh kerajaan.

Apakah yang dapat kita harapkan untuk membuat transformasi ke arah lebih baik daripada rakyat yang memaparkan perlakuan yang menyimpang daripada norma-norma masyarakat pada sambutan tahun baru? Biarpun perbuatan itu tidak mencerminkan majoriti rakyat, tetapi itulah yang dipertontonkan kepada seluruh rakyat melalui siaran langsung di kaca televisyen, laman web, laman sosial dan bahan bercetak. 

Gelagat tidak waras dan sumbang di depan khalayak menunjukkan tahap keruntuhan moral bukan perkara terpencil. Pelakunya merasa megah untuk mempamerkan sesuatu yang sepatutnya malu untuk didedahkan kepada umum. Mereka tidak memikirkan apakah perasaan ibu bapa, keluarga dan orang di sekliling mereka apabila melihat gelagat tidak senonoh itu. Atau mungkinkah mereka melakukannya kerana ibu bapa dan keluarga mereka akan merasa bangga dengan perbuatan itu?

Semua pihak perlu memikirkan dengan serius tentang penerapan budaya yang tidak sesuai dari luar kepada masyarakat tempatan. Hiburan dan kegembiraan melampau yang cuba diterapkan pada sambutan ambang tahun baru perlu dikawal. Kerajaan kerap melaungkan slogan wasatiyyah atau kesederhanaan, tetapi sebaliknya ada pihak yang melakukan tindakan sebaliknya.

Konflik dan kesongsangan sosial yang berlaku dalam masyarakat, khususnya golongan muda perlu dipantau. Jika amalan itu dibiarkan pada sambutan ambang tahun baru, mereka akan lakukan pula pada masa lain. Perasaan ingin bergembira tidak mengikut masa atau sempena sambutan tertentu saja. Selagi peluang ada, mereka akan mengulanginya di tempat dan pada masa lain. 

Dalam mendepani kerenah dan masalah timbul ketika sambutan ambang tahun baru, adalah wajar pihak kerajaan dan pihak yang terlibat secara langsung menganjurkan program yang berkenaan memikirkan alternatif yang lebih sesuai dengan matlamat sebenar sambutan itu. Pengisian program yang berfokus dan bermatlamat wajar dipertimbangkan berbanding dengan bercorak hiburan semata-mata. 

Program berbentuk kerohanian seperti syarahan agama, motivasi dan kenegaraan adalah lebih sesuai untuk kita mengajak rakyat menghayati maksud sambutan tahun baru. Tahun baru adalah masa untuk setiap antara kita membina azam baru dan bermuhasabah diri mencari kekuatan untuk lebih baik pada masa depan.

Sekiranya sedikit hiburan diperlukan, sudah memadai dengan bentuk hiburan santai yang sesuai untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Memandangkan terdapat juga pelancong asing, sesuai sangat jika hiburan tradisi masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dipersembahkan. Rakyat perlu disajikan dengan sesuatu yang dapat menyedarkan tentang jati diri bangsa, sesuai dengan cabaran yang perlu dihadapi pada masa depan.

Berubah masa dan tahun bukan bermakna kita perlu melupakan apa yang kita banggakan selama ini. Biarpun kita ingin mencapai kemajuan lebih hebat, tetapi tidak bermakna apa yang diwarisi turun temurun mesti dilupakan.

Rasanya, jika paparan budaya dan kehidupan masyarakat Malaysia diketengahkan, itu lebih bererti dalam kita menyambut ambang tahun baru. Kita mengingatkan kepada rakyat bahawa walaupun sekuat mana kita ingin maju ke hadapan, apa yang kita banggakan selama ini juga dilupakan begitu saja.

Kita amat mengharapkan agar sambutan ambang tahun baru yang sinomin dengan pesta seks, dadah dan gelagat gila di jalan-jalan di tengah bandar raya, akan bertukar menjadi sesuatu yang memberi tanda aras semangat dan harapan rakyat yang ingin memulakan membina kehidupan yang lebih cemerlang.   

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh masa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya. 

Jangan sekali-kali mempersiakan masa yang menjadi nadi kehidupan.  Masa mendatang adalah cabaran kepada kehidupan. Manakala masa yang berlalu menjadi bukti kehidupan yang telah dilakukan. Jadikan, sambutan tahun baru sebagai kayu pengukur kepada apa yang telah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa telah berlaku sepanjang tahun, memudahkan untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun baru menjelma. 

Renungkan kata-kata Imam Hasan al-Bashri tentang apa yang ‘kurang’ terhadap diri kita setiap detik masa berlalu. Katanya: “Hai anak cucu Adam, sesungguhnya engkau adalah kumpulan daripada hari-harimu. Maka, setiap kali hari itu berlalu, maka berlalu juga sebahagianmu.” 

No comments:

Post a Comment