Memperingati
kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah manifestasi kecintaan kepada insan termulia
sepanjang zaman. Perasaan sayang dan cinta kepada Rasulullah SAW perlu ada
dalam hati setiap Muslim, mengatasi segala rasa keinginan terhadap makhluk
lain.
Kelahiran
Rasulullah SAW membawa bersama rahmat tidak terhingga. Firman Allah SWT bermaksud: "Kami tidak
mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam
sejagat." (Surah al-Anbiya, ayat 107).
Betapa
bangganya umat Islam yang menyertai setiap kali sambutan Maulidur Rasul. Seluruh
masyarakat mengakui dan menzahirkan kesyukuran menjadi umat Rasulullah SAW. Tidak
ada individu lain yang ulang tahun kelahirannya disambut umat seluruh dunia
sepanjang zaman.
Mencintai
diri Rasulullah SAW samalah mencintai agama. Sesiapa menerima keesaan Allah SWT,
tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah SAW, bermakna masih tidak lengkap
keimanannya. Kalimah syahadat yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut
merangkaikan ungkapan tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Allah
SWT berfirman maksudnya: "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan
kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).
Sambutan
Maulidur Rasul amat bermakna. Jadi, tidak tepat jika dikatakan sambutan
Maulidur Rasul sekadar upacara rasmi. Setiap peristiwa tetap memberi kesan,
biarpun amat kecil. Tidak mungkin individu menyertai sambutan Maulidur Rasul
tidak mendapat apa-apa manfaat.
Setiap
apa dilakukan bergantung kepada niat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita
menjadi lebih dekat dan semarak kasih terhadap baginda ketika sambutan Maulidul
Rasul dan sepanjang bulan Rabiulawal. Pemugaran perasaan itu kemudiannya
dilanjutkan sepanjang tahun. Melalui acara sambutan inilah peluang terbaik
membongkar kembali sirah Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan dan ikutan kita
semua.
Rasulullah
SAW tidak memerintahkan supaya kita menyambut Maulidur Rasul. Para sahabat juga
tidak menyambut Maulidul Rasul. Acara sambutan ini dimulakan oleh kerajaan
Fatimiyyah pada abad keempat Hijrah di mana Maulidur Rasul disambut secara
besar-besaran .
Para
ulama berpendapat memperingati hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada baginda
adalah harus selama mana tiada unsur bertentangan syariat Islam. Majlis
sambutan telah disepakati ulama sebagai bidaah hasanah (pekara-perkara yang
baik dan elok) bukan dholalah (sesat).
Allah
SWT memerintahkan agar memuliakan Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 56 bermaksud:
“Sesungguhnya Allah dan semua malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, wahai orang
yang beriman, berselawatlah kepadanya dan bertaslimlah dengan taslim yang
sempurna.”
Salahuddin
Al-Ayubi menjadikan Maulidul Rasul untuk memulih dan menaikkan semangat tentera
Islam. Penerapan sirah Rasulullah SAW dalam diri tentera memberi motivasi yang
cukup berkesan untuk membentuk jati diri dan keyakinan bahawa apa yang
dilakukan untuk Islam mendapat pembalasan baik di sisi Allah. Sejarah kemenangan tentera pimpinan
Salahuddin merampas kembali Kota Baitulmuqadis menjadi pengajaran sepanjang
zaman.
Syeikh
Yusuf Al-Qaradhawi berkata, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati
sejarah Islam ketika Rasulullah SAW masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari
kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.
Ketika
diutuskan Rasulullah SAW, manusia dibelenggu kehidupan primitif dari segi
akhlak, tingkah laku dan kepercayaan. Kehidupan bersandarkan kepada mengikut
hawa nafsu dan kekuasaan tidak ubah seperti masyarakat haiwan. Ketika itu
peradaban kemanusiaan berada pada tahap paling merosot sepanjang sejarah
tamadun manusia.
Rasulullah
SAW membawa pembaharuan nilai hidup kepada manusia sejagat. Dakwah baginda meliputi segenap aspek
kehidupan yang diakui seluruh umat manusia. Baginda menjadi ‘uswatun hasanah’
atau contoh terbaik. Firman Allah SWT dalam
surah al-Qalam, ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak
yang amat mulia.”
Amat
tepat jika seluruh umat Islam menyatakan terima kasih dan tanda ingatan
terhadap Rasulullah SAW dengan melakukan sambutan secara khusus. Maulidur Rasul
acara terbaik memberikan makna yang tersirat dan tersurat di sebaliknya.
Acara
sambutan meliputi ceramah, bacaan Yasin, tazkirah, pengkisahan sirah Rasulullah
SAW dan sebagainya. Sambutan Maulidur Rasul dilakukan umat Islam di seluruh
dunia, tidak mengira sama ada di timur, barat, selatan atau utara.
Sambutan
Maulidur Rasul tidak wajar dijadikan kontroversi kerana perbezaan pendapat atau
fatwa dari para ulama. Umat Islam selama-lamanya bersatu selagi mematuhi hukum
agama.
Perkara
ini dijelaskan firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Masuklah
kamu ke dalam addin Islam (dengan mematuhinya) segala hukum hakamnya dan jangan
kamu menurut jejak langkah syaitan.
Sesungguhnya syaitan adalah musuh kamu yang terang nyata." (Surah
al-Baqarah, ayat 208).
No comments:
Post a Comment